Sistem Permohonan Online Harta Pusaka Kecil
Soalan Lazim Perbicaraan
-
Apakah dokumen yang perlu dibawa ketika menghadiri perbicaraan?
Pemohon dan waris perlu mengemukakan dokumen-dokumen asal seperti kad pengenalan, sijil kelahiran, sijil kematian, hakmilik tanah, sijil saham, buku wang simpanan dan lain-lain dokumen berkaitan harta si mati.
-
Apakah yang dimaksudkan dengan perbicaraan?
Perbicaraan ialah satu siasatan yang dijalankan oleh Pentadbir Tanah untuk menentukan kedudukan waris bagi sesuatu permohonan. Selain daripada itu, ianya juga untuk memutuskan segala tuntutan yang timbul dan seterusnya mengeluarkan perintah pembahagian.
-
Di manakah tempat perbicaraan dijalankan? Perbicaraan pembahagian pusaka dijalankan di Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah daerah di mana permohonan didaftarkan. Ia juga boleh diadakan di mana-mana tempat seperti di balai raya, dewan orang ramai, pejabat penghulu dan lain-lain tempat yang difikirkan sesuai oleh Pentadbir Tanah.
-
Bolehkah peguam menghadiri perbicaraan?
Pihak peguam boleh menghadiri perbicaraan namun perlu mendapatkan kebenaran daripada Pentadbir Tanah terlebih dahulu.
-
Di manakah rayuan boleh dibuat?
Rayuan hendaklah dilakukan di Mahkamah Tinggi di negeri di mana permohonan pembahagian harta pusaka dimasukkan dan mestilah dibuat melalui Unit Pembahagian Pusaka Kecil yang menguruskan permohonan harta pusaka tersebut.
-
Siapakah yang perlu hadir pada hari perbicaraan?
Perbicaraan perlu dihadiri oleh semua waris dewasa (berumur 18 tahun ke atas), orang berkepentingan dan saksi-saksi juga penghulu sekiranya kehadiran mereka dikehendaki.
-
Siapakah saksi bebas?
Saksi bebas ialah orang yang tiada kaitan keluarga terdekat dengan si mati dan tidak berhak mewarisi harta peninggalannya.
-
Siapakah yang boleh menyaksikan surat akuan bersumpah?
Surat akuan bersumpah boleh disaksikan oleh dua (2) orang saksi bebas yang mengenali si mati dan menyaksikan kematian si mati.
-
Perlukah waris kanak-kanak (belum dewasa) hadir perbicaraan?
Waris kanak-kanak (bawah 18 tahun) tidak perlu hadir kerana penjaga (guardian) telah dilantik mewakili diri mereka.
-
Bolehkah pihak awam turut menghadiri perbicaraan?
Perbicaraan bersifat terbuka dan boleh dihadiri oleh orang awam.
-
Bagaimanakah waris dihubungi untuk menghadiri perbicaraan pembahagian pusaka?
Pemohon dan setiap waris akan dihubungi melalui notis perbicaraan (borang D) yang akan diserahkan secara serahan tangan. Bagaimanapun sekiranya serahan tangan tidak dapat dilakukan atas sebab-sebab tertentu, notis perbicaraan boleh dihantar secara pos berdaftar bersama kad akuan penerimaan. Notis perbicaraan juga akan dipamerkan di tempat-tempat awam seperti masjid, surau, balairaya dan sebagainya dengan tujuan untuk memaklumkan kepada orang ramai sekiranya ada bantahan atau tuntutan.
-
Apakah tujuan perbicaraan?
Tujuan perbicaraan diadakan adalah untuk menentukan perwarisan, pembahagian dan memutuskan tuntutan daripada pihak yang berkepentingan.
-
Sekiranya seorang waris (pemohon) sahaja yang hadir perbicaraan, bolehkah perintah pembahagian dikeluarkan?
Sekiranya seorang waris sahaja yang hadir pada hari perbicaraan, perintah pembahagian hanya boleh dikeluarkan mengikut hukum faraid atau Akta Pembahgian 1958 sahaja.
-
Sekiranya terdapat waris yang gagal diserahkan notis perbicaraan kepadanya, apakah perbicaraan yang dijalankan menjadi tidak sah?
Walaupun waris tidak menerima notis untuk hadir ke dalam perbicaraan, ianya tidak boleh menjadikan sesuatu perbicaraan itu tidak sah, melainkan jika pada pandangan Mahkamah Tinggi telah berlaku ketidakadilan.
-
Sekiranya seseorang waris tidak dapat menghadiri perbicaraan, apakah tindakan yang harus dilakukanya?
Seandainya ada waris dewasa tidak dapat menghadiri perbicaraan yang telah ditetapkan, maka beliau hendaklah mengemukakan borang persetujuan pembahagian yang ditandatangani dihadapan Pesuruhjaya Sumpah, Majistret atau Pentadbir Tanah. Borang tersebut akan menyatakan apakah bentuk pembahagian yang dikehendaki oleh waris berkenaan.
-
Bolehkah waris belum dewasa (minor) menyerahkan bahagian mereka kepada waris lain ketika perbicaraan sedang dijalankan?
Waris minor boleh menyerahkan bahagian yang diperolehi sekiranya mendapat persetujuan daripada penjaga dengan syarat pada pandangan Pentadbir Tanah, penyerahan tersebut tidak mendatangkan ketidakadilan kepada waris berkenaan.
-
Bagaimanakah persetujuan dibuat sekiranya perbicaraan tidak dihadiri oleh semua waris dan bersetuju untuk melantik seorang pentadbir?
Perlantikan pentadbir boleh dibuat berdasarkan persetujuan waris-waris yang hadir pada hari perbicaraan, setelah Pentadbir Tanah berpuashati dengan kelayakan calon pentadbir tersebut. Tidak ada halangan jika ada di antara waris yang tidak hadir, kerana tiada pemberian turunmilik dibuat. Kuasa-kuasa pentadbir adalah terhad, jadi waris yang tidak hadir tidak perlu risau.
Sumber dari JKPTG