Sistem Permohonan Online Harta Pusaka Kecil
Soalan Lazim Permohonan
-
Adakah permohonan pusaka boleh diteruskan sekiranya si mati adalah seorang peneroka Felda tetapi dokumen hakmilik belum dikeluarkan?
Permohonan boleh dibuat walaupun dokumen hakmilik masih belum diterima dan keterangan mengenai harta tak alih simati boleh dirujuk dengan menggunakan nombor R.O.H ( Daftar pegangan) yang boleh disahkan oleh Pengurus Felda / Felcra.
-
Di manakah permohonan pembahagian harta pusaka kecil boleh dibuat?
Permohonan pembahagian harta pusaka kecil boleh dibuat di Pejabat Tanah atau Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil yang terdapat di daerah di mana harta tidak alih itu berada.
-
Sekiranya si mati memiliki beberapa bidang tanah di daerah yang berlainan di manakah permohonan perlu dibuat?
Permohonan boleh dibuat di mana-mana daerah harta tak alih simati berada.
-
Bolehkah permohonan pembahagian pusaka yang telah didaftarkan di satu-satu daerah dipindahkan ke daerah lain untuk kemudahan ahli waris?
Boleh, walau bagaimanapun pemohon hendaklah membuat permohonan bertulis kepada Pentadbir Tanah Daerah berkenaan menyatakan tujuan mengapa permohonan pemindahan tersebut dibuat. Permohonan akan dipanjangkan untuk kelulusan Pengarah Tanah dan Galian Negeri sekiranya ianya melibatkan pelangkauan daerah dalam negeri yang sama dan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan sekiranya ianya melibatkan pelangkauan negeri.
-
Siapakah yang dianggap sebagai pembeli di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Pindaan 2008)?
Seksyen 2 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Pindaan 2008) menjelaskan pembeli sebgai seseorang yang pada tarikh permohonan atau pembahagian pusaka dibuat samada oleh dirinya sendiri atau orang lain, menduduki (in Occupation) mana-mana tanah atau kepentingan yang didaftarkan atas nama si mati, melalui perjanjian jual beli di antara dirinya dengan si mati.
-
Siapakah yang layak memohon pusaka?
Waris terdekat seperti suami, isteri, bapa, ibu, anak dan lain-lain waris yang boleh mewarisi harta si mati, pemiutang, pemegang gadaian, penerima wasiat, Baitulmal, Penghulu, Pegawai Penempatan, Pemegang Amanah (trustee), Penerima Amanah, Pemegang Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney), Amanah Raya Berhad dan pembeli.
-
Bagaimanakah permohonan pembahagian harta pusaka dibuat?
Pemohon dikehendaki mengisi borang permohonan (borang A) dan menyertakan sekali dokumen sokongan seperti salinan sijil kematian, sijil carian rasmi hakmilik tanah, perjanjian jualbeli tanah atau rumah, surat pengesahan harta alih yang dituntut, salinan kad pengenalan waris atau sijil kelahiran waris yang belum dewasa, sijil perkahwinan, penyata hutang dan lain-lain dokumen yang berkaitan dengan harta si mati.
-
Layakkah pembeli membuat permohonan pembahagian pusaka simati sekiranya simati dan pembeli hanya membuat perjanjian jualbeli berdasarkan Akta Kontrak 1950 disebabkan hakmilik tanah kepunyaan simati telah hilang?
Pembeli (purchaser) adalah dibenarkan di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Pindaan 2008) untuk memohon pembahagian harta pusaka. Sekiranya perbicaraan harta pusaka yang dijalankan memutuskan bahawa "kontrak" jualbeli di antara pembeli dan si mati adalah sah, tanah yang dibeli boleh diturunmilik terus (direct transmission) kepada pembeli.
-
Bolehkah borang permohonan pembahagian pusaka dihantar melalui pos?
Borang Permohonan ( Borang A- Permohonan Baru Seksyen 8 ) yang lengkap diisi berserta salinan dokumen yang diperlukan boleh diposkan kepada Unit Pembahagian Pusaka di mana harta tak alih ( tanah/rumah ) simati terletak. Jika simati meninggalkan harta tak alih tersebut di berlainan daerah dalam negeri yang sama atau di berlainan negeri, permohonan tersebut boleh diposkan ke mana-mana ( salah satu ) Unit Pembahagian Pusaka di mana harta-harta tak alih si mati terletak.
-
Bolehkah pembeli menuntut harta pusaka yang dibelinya melalui surat perjanjian walaupun urusan jual beli tersebut belum lagi disempurnakan sepenuhnya?
Pembeli boleh membuat permohonan pembahagian pusaka berdasarkan perjanjian jual beli tersebut. Sekiranya baki harga pembelian masih ada ianya boleh dijelaskan kepada waris si mati semasa perbicaraan dijalankan.
-
Bolehkah permohonan pembahagian pusaka yang melibatkan harta alih sahaja (tiada harta tak alih) dibuat di Pejabat Tanah atau Unit Pembahagian Pusaka?
Tidak boleh. Permohonan tersebut hendaklah di buat di Pejabat Amanah Raya Berhad.
-
Bagi harta si mati yang telah mempunyai penama (nominee), adakah permohonan pembahagian pusaka masih perlu dibuat?
Pada kebiasaanya, penama akan dibayar terus harta berkenaan yang dinamakan kepadanya. Sebagai contoh, simpanan dalam KWSP, insuran nyawa dan sebagainya.
-
Bolehkah tuntutan pusaka harta tak alih dan harta alih dikemukakan secara berasingan dengan tujuan supaya pembahagian harta alih dapat dilakukan lebih awal?
Tidak boleh, permohonan kedua-dua jenis harta tersebut hendaklah dikemukakan dalam satu permohonan sahaja.
-
Berapa lamakah sesuatu permohonan dapat diselesaikan?
Tempoh masa penyelesaian kes yang tidak bermasalah adalah 5 1/2 bulan.
-
Sekiranya si mati, mati tanpa meninggalkan waris, siapakah yang boleh memohon pembahagian harta peninggalannya?
Bagi harta pusaka yang tidak mempunyai waris, pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri, Penghulu, Pegawai Penempatan dan Amanah Raya Berhad boleh menjadi pemohon pusaka simati.
-
Bolehkah permohonan pembahagian pusaka berkaitan wang pampasan yang diterima akibat daripada proses Pengambilan Tanah dibuat di Pejabat Pembahagian Pusaka atau Unit Pembahagian Pusaka?
Boleh, kerana ia merupakan kepentingan yang wujud dari tanah.
-
Bilakah permohonan pembahagian pusaka wajar dilakukan?
Permohonan pembahagian pusaka sebaik-baiknya dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh kematian si mati. Permohonan awal adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kematian kepada waris yang akan meramaikan lagi waris pengganti, sehingga akhirnya proses penyelesaian menjadi rumit dan sukar untuk diselesaikan.
-
Sekiranya "pentadbir" tidak amanah dalam menjalankan tugasnya, bolehkah pelantikannya dibatalkan dan dilantik yang lain?
"Pentadbir" yang dilantik boleh dibatalkan pelantikannya oleh Pentadbir Tanah atas permohonan mana-mana waris dengan menggunakan borang Permohonan Yang berikutnya (Borang P). Pentadbir Tanah berkaitan juga boleh melantik "Pentadbir" baru sekiranya difikirkan sesuai.
-
Berapa lamakah tempoh penyelesaian sesuatu permohonan berikutnya?
'Tempoh masa penyelesaian adalah bergantung kepada keadaan dan tujuan sesuatu permohonan. Namun pada kebiasaannya tempoh penyelesaian adalah di antara 2 hingga 4 1/2 bulan.
-
Adakah pendaftaran permohonan pembahagian harta pusaka dikenakan sebarang bayaran?
Pendaftaran untuk permohonan pembahagian harta pusaka adalah percuma.
-
Bagaimanakah permohonan pembahagian harta pusaka dilaksanakan?
'Sekiranya simati mempunya tanah adat di Negeri Sembilan, permohonan boleh dikemukakan di Pejabat Tanah Daerah di mana tanah tersebut terletak mengikut peruntukan Seksyen 10 EPA Bab 215 dan EPA (Tanah Lengkongan) 1960. Permohonan harta pusaka untuk tanah adat dan bukan tanah adat perlu dilakukan secara berasingan. Walaubagaimanapun, untuk negeri Melaka, prosedur permohonan pembahagian pusaka tanah adat sama seperti yang bukan tanah adat.
-
Permohonan awal telah dibuat di Mahkamah Tinggi dan Surat Kuasa Tadbir (Letter of Administration) telah dikeluarkan. Bolehkah penyelesaian seterusnya dibuat di Pejabat Tanah atau di Pejabat Pembahagian Pusaka Kecil?
Pada dasarnya tidak boleh. Walau bagaimanapun sekiranya pihak Mahkamah Tinggi memberi kebenaran, ianya boleh dilakukan.
-
Sekiranya selepas permohonan berikutnya selesai, masih terdapat harta yang ketinggalan, bolehkah permohonan berikutnya dibuat semula?
Permohonan berikutnya boleh dibuat berulang kali sekiranya perlu.
-
Mengapakah permohonan berikutnya perlu dilakukan?
Permohonan berikutnya perlu dilakukan apabila waris atau mana-mana pihak berkepentingan dalam sesuatu permohonan pembahagian pusaka yang telah selesai, mendapati:
Masih terdapat harta si mati yang ketinggalan dimasukkan dalam permohonan awal.
Perlu membatalkan perintah pelantikan Pentadbir (administrator) yang dilantik dalam permohonan awal.Perlu membatal pelantikan pemegang amanah
Perlu melantik pentadbir dan pemegang amanah yang baru menggantikan yang sedia ada atas sebab-sebab tertentu.
-
Sekiranya hakmilik (geran) tanah telah hilang dalam simpanan, bolehkah permohonan pembahagian pusaka dibuat?
Boleh, pemohon hendaklah mendapatkan carian rasmi atau salinan yang diakui sah dari Pejabat Tanah di daerah berkenaan.
-
Bagaimanakah permohonan ulangbicara ( Permohonan Berikutnya- Seksyen 17 ) dilakukan?
'Pemohon hendaklah mengisi Borang P yang boleh didapati di seluruh Unit Pembahagian Pusaka atau Pejabat Tanah dan menyerahkannya ke Unit Pembahagian Pusaka atau Pejabat Tanah di mana permohonan awal ( Borang A- Seksyen 8 ) telah diselesaikan.
-
Adakah denda akan dikenakan sekiranya permohonan pembahagian pusaka lewat dikemukakan?
Tiada sebarang denda dikenakan untuk kelewatan permohonan pembahagian pusaka daripada pemohon.
-
Bolehkah pemohon mendapatkan khidmat peguam atau Amanah Raya Berhad dalam menguruskan permohonan?
Waris boleh mendapatkan khidmat guaman atau Amanah Raya Berhad, namun tidak digalakkan kerana ianya melibatkan yuran guaman yang tinggi.
-
Adakah permohonan pusaka perlu disertakan dengan Sijil Faraid?
Permohonan boleh dikemukakan tanpa Sijil Faraid dan ianya boleh disediakan kemudian sekiranya perlu.
-
Jika pembeli turut meninggal dunia dan jual beli masih belum sempat disempurnakan , apakah anak kepada pembeli boleh memohon pembahagian pusaka?
Anak pembeli tidak layak memohon pembahagian pusaka harta penjual kerana tidak mempunyai "locus standi". Anak pembeli tadi dikehendaki memohon pembahagian pusaka ayahnya dahulu (kepentingan anak pembeli di atas tanah yang di beli berdasarkan perjanjian jual beli di antara pembeli dan penjual). Setelah surat kuasa tadbir harta pusaka pembeli diperolehi, barulah anak pembeli tadi layak untuk membuat permohonan pembahagian pusaka penjual.
-
Adakah permohonan yang berikutnya- ulangbicara ( Borang P- Seksyen 17 ) dikenakan apa-apa bayaran?
Mulai 1hb September 2009, semua permohonan Borang P tidak dikenakan sebarang bayaran pendaftaran. Pemohon hanya menjelaskan yuran selepas perbicaraan selesai mengikut nilaian terkini harta si mati seperti yang tercatat dalam borang permohonan.
-
Sekiranya perjanjian jual beli di antara A dan B berlaku secara lisan (verbal agreement), ataupun telah hilang dari simpanan, bolehkah A memohon pembahagian pusaka selepas kematian B?
A boleh mengemukakan permohonan pembahagian pusaka tetapi mestilah mempunyai lain-lain bukti (evidence) yang boleh menyokong tuntutannya kerana ketiadaan perjanjian bertulis (documentary evidence).
-
Berapa orang pentadbir boleh dilantik bagi mentadbir harta simati?
Merujuk kepada Akta Probet dan Pentadbiran, pentadbir boleh dilantik tidak melebihi 4 orang sahaja.
-
Bolehkah waris menggunakan surat perjanjian jualbeli untuk urusan permohonan pembahagian pusaka sekiranya si mati meninggal dunia sebelum hakmilik strata diperolehi? 'Perjanjian jualbeli di antara si mati dan pemaju telah menunjukkan wujudnya kepentingan (interest) beliau di atas harta berkenaan. Kepentingan si mati boleh disifatkan sebagai harta si mati. Oleh itu, waris si mati boleh menggunakan surat perjanjian jual beli berkenaan untuk tujuan permohonan pembahagian pusaka.
-
Sekiranya dokumen perjanjian jualbeli di antara A dan B tidak disetemkan (stamping), apakah perjanjian tersebut boleh digunakan oleh A untuk membuat permohonan pembahagian pusaka B?
Dokumen perjanjian yang tidak disetemkan tidak boleh dianggap sebagai dokumen yang tidak sah. Dokumen tersebut perlu dimatikan setem dan dibayar denda/penalti.
-
Adakah permohonan pusaka boleh dilakukan sekiranya si mati seorang peneroka yang telah mengadaikan tanahnya kepada pihak bank semasa membuat pinjaman untuk projek tanaman semula?
Pemohon boleh meneruskan proses permohonan dengan mengemukakan carian hakmilik tanah, yang boleh diperolehi daripada Pejabat Tanah Daerah, dan melampirkannya bersama Borang A ketika membuat permohonan.
-
Tanah telah didaftarkan dengan pemilikan bersama (co-holder), iaitu simati dan isteri, kemudian berlaku kematian salah seorang daripada mereka. Bagaimanakah permohonan pusaka dibuat?
Permohonan hanya boleh dibuat kepada bahagian simati yang didaftarkan ke atas hakmilik tanah tersebut sahaja. Sebagai contoh, sekiranya simati mempunyai ½ bahagian sahaja daripada hakmilik-hakmilik tanah GSA tersebut, ½ bahagian itu sahajalah akan dibicarakan.