Sistem Permohonan Online Harta Pusaka Kecil
Soalan Lazim Pusaka Kecil - Definasi
-
Apakah yang dimaksudkan sebagai harta pusaka?
Harta pusaka ialah semua harta dan kepentingan si mati yang kematiannya telah dapat dibuktikan.
-
Apakah yang dimaksudkan sebagai harta pusaka kecil?
Harta pusaka kecil ialah harta yang terdiri daripada harta tak alih (tanah / rumah) dan harta alih yang jumlah keseluruhan nilai semasanya tidak melebihi RM 2 juta dan si mati tidak meninggalkan wasiat di bawah Akta Wasiat 1949.
-
Apakah yang dimaksudkan sebagai harta tak alih?
Harta tak alih ialah tanah atau kepentingan di atasnya. Bangunan kekal adalah meliputi takrif harta tak alih.
-
Apakah yang dimaksudkan harta alih?
Harta alih ialah harta yang selain daripada harta tak alih seperti wang tunai, saham, akaun simpanan bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans, kenderaan, senjata api, barang kemas dan sebagainya.
-
Adakah permit dan lesen seperti lesen pendudukan sementara (TOL), lesen perniagaan, permit pengangkutan awam boleh dijadikan sebahagian daripada harta pusaka?
Lesen dan permit tidak boleh diwarisi dan ianya akan luput setelah kematian pemilik asal.
-
Apakah tanah pajakan lombong (mining lease) yang didaftarkan atas nama si mati boleh dijadikan harta pusaka si mati?
Tanah pajakan lombong adalah hakmilik muktamad dan ianya adalah sebahagian daripada harta pusaka si mati yang boleh diturunmilik kepada waris.
-
Adakah tanah "daftar pegangan" (register of holdings) di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 termasuk di dalam takrif harta pusaka?
Tanah daftar pegangan adalah termasuk dalam takrif harta pusaka si mati.
-
Bolehkah " Surat Ikatan Amanah" (Trust Deed) dianggap sebagai sebahagian daripada harta pusaka si mati?
Ya, sekiranya nama si mati merupakan sebahagian daripada orang-orang yang kepada mereka amanah tersebut dipegang. Sekiranya si mati adalah pemegang amanah, ianya tidak boleh dianggap sebagai harta si mati.
-
Sebelum berkuatkuasa Kanun Tanah Negara 1965, terdapat beberapa hakmilik sementara seperti Surat Akuan (Kedah) dan Tanah AA (Approved Application). Apakah kedua-dua jenis hakmilik ini boleh dijadikan harta pusaka si mati?
Kedua-dua jenis hakmilik di atas adalah sebahagian daripada harta pusaka si mati sebagaimana hakmilik-hakmilik jenis lain dan ianya boleh diwarisi oleh waris-waris simati.
Sumber dari JKPTG